

Dalam posting terdahulu, saya telah menulis tentang Siapa Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani?.
Saya melihat artikel ini banyak dimuatkan beberapa website yang lain.
Ia disusuli dengan komentar yang kebanyakkannya tidak ilmiyyah. Bahkan
banyak pula yang berlandaskan perasaan berbanding hujjah. Sekarang, mari
kita ikuti kenyataan Murid Kanan al-Allamah al-Imam al-Muhaddith Syeikh
Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari iaitu Allamah Syeikh Mahmud Said
Mamduh tentang kesilapan metodologi hadis yang diperjuangkan al-Albaani
dan para muridnya. Beliau telah mengarang banyak kitab untuk mendedahkan
beberapa kesilapan metodologi Syeikh Muhammad Nasiruddin dalam ilmu
hadith.
Antara karangan beliau yang terbaru ialah : al-Ta’rif bi Awham Man Qassama al-Sunnan Ila al-Sahih Wa al-Dhaif (Satu pengenalan bagi mereka yang mendatangkan kesamaran dgn membahagikan al-hadith kepada Sahih dan Dhaif). Kitab ini berjumlah enam jilid bermula bab Taharah (bersuci) sehingga bab kelebihan Makkah. Di dalam kitab ini Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh berjaya menjelaskan metodologi songsang al-Albaani satu persatu. Beliau telah mengesan hampir 1000 hadis yang telah ditashih dan ditad’ifkan mengikut selera hawa nafsu Syeikh al-Albaani. Penjelasan ini membuktikan Syeikh al-Albaani tidak memiliki konsistensi kukuh dalam pentashihan hadis.
Walaupun menceburi bidang hadith, Syeikh al-Albaani sebenarnya tidak mempunyai silsilah perguruan dalam bidang hadis secara bersanad. Jika dikaji secara teliti dalam terjemahan biografi Syeikh al-Albaani, tidak diketahui siapakah gurunya yang meriwayatkan hadis kepadanya. Ajaib sekali jika seseorang yang menceburi bidang hadis tidak memiliki guru hadis yang memiliki silsilah yang sampai kepada Rasulullah SAW.
Disamping itu, Syeikh al-Albaani
juga bertanggungjawab merungkai metodologi ilmu hadis yang telah sekian
lama disusun rapi oleh para ulamak hadith. Contohnya : Para ulamak
hadis telah sepakat membahagikan hadith kepada empat bahagian utama :
Iaitu Hadith Sahih, Hadis Hasan/Maqbul (yg tidak menepati spesifikasi
sahih dan tidak pula dhaif), Hadith Dhaif dan Hadith Mauduk (Rekaan).
Tetapi bila hadirnya Syeikh al-Albaani, beliau merombak metodologi
berkenaan. Lalu membahagikan hadis kepada dua bahagian sahaja. Iaitu
Hadis Sahih dan Hadith Dhaif/Mauduk (rekaan).
Bukan sekadar itu, Al-Albaani
juga turut menjelaskan bahawa tidak boleh beramal dengan hadis dhaif
berkenaan. Sedangkan para ulamak menaskan : ”Para Ulamak Hadis, Feqah
dan selainnya menjelaskan : Diharuskan dan disunatkan beramal dengan
hadis dhaif di dalam kelebihan-kelebihan perkara ibadah, galakan
terhadap janji-janji baik Allah dan larangan terhadap janji-janji buruk
Allah selagi mana hadis tersebut tidak mencapai tahap hadis
rekaan,”-Imam al-Suyuthi di dalam Kitabnya Tufah al-Abrar dan Imam
al-Nawawi di dalam al-Azkaar, hlm 14, Cet Dar al-Makrifah, 1996
Oleh itu, tidak pelik jika ada
pihak yang membicarakan ilmu hadis, secara sombong menolak keberhujahan
hadis-hadis hasan atau hadith dhaif dalam bidang dan kelasnya
sebagaimana yang dibenarkan para ulamak hadis, feqah dan selainnya.
Dakwa mereka, hadis berkenaan tidak sahih. Atau hadis berkenaan adalah
hadis dhaif. Ternyata sikap begini tidak mencerminkan metodologi Ahl
Hadis yang sebenar. Sebaliknya, mencerminkan sikap penolakan terhadap
hadis secara halus. Inilah salah satu hasil dari pegangan Ijtihad
al-alBaani yang perlu ditolak secara jujur.
Selain itu, alAlbaani juga begitu gigih ingin menilai semula hadis-hadis Nabi SAW yang telah dinilai sahih oleh para ulamak muktabar sebelumnya. Dalam kes ini, perlu dipertanyakan Siapa al-Albaani dan siapa gurunya? Dimana sanadnya @ silsilah periwatannya? Dimana Standard beliau dalam disiplin ilmu hadis? Apakah beliau al-Hafidz, al-Hakim, al-Hujjah, Pakar Ilal al-Hadis? Pendek kata, Syeikh al-Albaani juga perlu dinilai secara Jarh dan Ta’dil oleh para ulamak yang layak menilai penghadisannya. jadi, mengapa harus ada pihak yang menuduh kita ekstrem bila kita ingin mengadili beliau berdasarkan metodologi Ahli Hadis yang silam? Sepatutnya, ia bukan isu yang perlu dipertikaikan.
Kini sudah 10 tahun Syeikh al-Albaani bersemadi di Tanah Perkuburan Jabal Nasir, di Amman, Jordan . Namun fikrah dan metodologi hadis modern yang dirintisnya mendapat tempat dalam masyarakat disebabkan beliau pernah menjawat Mahaguru Hadis di Universiti Islam Madinah. Memandangkan metodologi hadisnya bertepatan dengan aliran Salafiah Wahhabiyyah, maka namanya dijulang dan beliau diberi penghargaan serta dimasyhur ke tahap Amir Mukminin Fi al-Hadis. Muncul pula murid-murid yang mengagung-agungkan al-Baani ke serata dunia, dengan sokongan wang ringgit yang banyak menyebabkan fikrah al-Albaani mudah tersebar dengan cepat. Berbanding karya ulamak yang hebat dalam pelbagai bidang tetapi kurang diberi perhatian sesetengah pemerintah. Akhirnya, karya berkenaan terkubur begitu sahaja.
Apapun kesalahan al-baani dalam bidang hadis perlu diperjelaskan. Bukan bermaksud bila kita membicarakan kesalahan seseorang ulamak beerti kita mencela keperibadiannya. Tidak sebegitu, namun tujuannya ialah ingin diperbetulkan kesilapannya. Dan memberi ingatan kepada umat ini agar tidak tersalah faham dengan pendapat yang sememangnya salah. Apatah lagi untuk mengambil manfaat dari metodologi songsang yang diperjuangkannya.
Justeru, diperingatkan kepada
para pendakwah, penceramah @ sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam
bidang hadis supaya berpegang kepada metodologi yang telah disepakti
ulamak hadis. Dan usah mengambil jalan pintas untuk menghukum hadis jika
anda tidak mengetahui disiplinnya. Dikhuatiri, jika anda menukil tashih
dan tashih al-Albaani, anda akan dikenali se kapal dgn metodologi
songsang ini. Dan tidak hairanlah jika anda dituduh Wahhabiy. Atau di
gam oleh negeri-negeri tertentu.
Bagi mereka yang tidak tahu apa-apa akan hal ini…dia pasti berkata :
al-Albaani pun ulamak jugak… zamihan tu siapa? Masalahnya bukan siapa
saya, kita dan mereka…Tetapi permasalahannya ialah metodologi songsang,
tiada disiplin ilmu dan kesalahan seseorang perlu diperjelaskan supaya
tidak berlaku kerancuan dan salah faham sesama Islam. Lebih-lebih lagi
dalam sesuatu bidang yang melibatkan sumber perundangan Islam iaitu
al-Hadith. Wallahu’alam.
0 komentar:
Posting Komentar